Thursday, April 19, 2007

Pertandingan Satu Lawan Satu BN Dan PKR Di Ijok


SATU LAWAN SATU… Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok K.Parthiban dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) bersalaman selepas penamaan calon di dewan orang ramai Batang Berjuntai. Foto: Razali Nordin

KUALA SELANGOR, 19 April -- Barisan Nasional (BN) dicabar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pertandingan satu lawan satu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, pada 28 April ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Haris Kasim mengumumkan bahawa calon BN K. Parthiban dan calon PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana hanya dua pencalonan diterima.

Ini adalah cubaan kedua PKR setelah calonnya Abdul Rahman Moharam tewas kepada anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk K. Sivalingam pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,649 undi.

Ketika membuat pengumuman mengenai pertandingan bagi pilihan raya kecil itu di pentas khas di luar Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai di sini pada pukul 11.05 pagi, Haris berkata tiada sebarang bantahan diterima terhadap pencalonan mereka dan tiada kertas pencalonan ditolak.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan tepukan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti dengan kedua-dua calon BN dan PKR itu diapit oleh beberapa pemimpin tertinggi parti masing-masing.

Terdahulu pada pukul 11 pagi Haris mengumumkan bahawa waktu bantahan untuk pencalonan bagi pilihan raya kecil itu ditutup.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari BN Sivalingam, 59, di Chennai, India akibat sakit jantung pada 4 April lepas.

Antara pemimpin parti komponen BN yang hadir memberi sokongan kepada Parthiban ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan pengerusi BN; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang juga Pengerusi BN Selangor; Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu; Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy; Presiden PPP Datuk M. Kayveas; dan Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sementara itu Abdul Khalid pula diiringi oleh Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu Parthiban, 38, yang juga setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, mengemukakan kertas pencalonannya 20 minit selepas penamaan calon dibuka di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai pada 9.00 pagi.

Pencalonan beliau dicadang oleh Rahim Mohd Yatim dan disokong Chong Yau Peng.

Abdul Khalid, 61, yang merupakan Pengerusi PKR Selangor pula menyerahkan kertas pencalonannya pada 9.36 pagi.

Pencalonan Khalid dicadangkan oleh Abdol Raman Moharam dan disokong Mohd Yusof Abdul Rahim.

No comments:

Post a Comment