Thursday, March 22, 2007

23 Kenderaan Tertimbus Tanah Runtuh Di Putrajaya

PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Dua puluh tiga kenderaan tertimbus dalam tanah runtuh di Presint 9 di sini, yang memaksa kira-kira 1,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka pada pukul 4.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Pemangku Supt Abdul Razak Abdul Majid berkata tanah berkenaan runtuh dari sebuah bukit di belakang apartmen Presint 9, Fasa 11.

"Tiada nyawa terkorban atau mangsa didapati terperangkap di bawah timbunan tanah runtuh itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Perkara itu disahkan oleh pasukan bomba dan penyelamat, yang memeriksa tempat kejadian dengan menggunakan "motion detector" (alat pengesan pergerakan) dan juga anjing pengesan.

Abdul Razak berkata bukit setinggi 50 meter itu dengan kecuraman 45 darjah terletak 10 meter dari apartmen itu, yang mengandungi tiga blok bangunan masing-masingnnya setinggi 15 tingkat.

Di atas bukit itu terletak sebuah tangki air.

Berikutan kejadian tanah runtuh itu, terbentuk satu timbusan tanah dengan saiz 9 meter x 12 meter dan berketinggian 3 meter meliputi kawasan tempat letak kereta itu.

Abdul Razak berkata para penduduk itu kini ditempatkan di pusat komuniti Presint 9 dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9.

"Kita masih menunggu jurutera IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) untuk mengesahkan sama ada akan berlaku lagi pergerakan tanah di kawasan itu.

"Lepas itu baru keputusan boleh dibuat sama ada penduduk boleh dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Hujan lebat turun di kawasan Putrajaya sejak petang semalam sehingga awal pagi ini.

No comments:

Post a Comment